By drzubaidi
Kekuningan pada bayi menjadi kebimbangan
kepada ibubapa yang baru mendapat cahayamata. Mungkin disebabkan tiada
pengetahuan dan pengalaman menyebabkan mereka segera membawa anak mereka ke
klinik.
Kadang-kala saya rasa kasihan melihat
anak yang berusia beberapa hari telah diusung ke klinik. Selalunya saya akan
beri keutamaan kepada bayi.
Saya tidak pasti sama ada penerangan
telah diberikan oleh para jururawat sebelum anak mereka dibenar keluar dari
hospital. Mungkin Kementerian Kesihatan harus memastikan para ibu menghadiri
kelas selama sejam sebelum dibenarkan pulang agar dapat diterangkan
perkara-perkara yang perlu mereka tahu mengenai bayi mereka.
Saya masih teringat seorang nenek
membawa cucunya yang kekuningan ke klinik dengan ditemani oleh anak lelakinya.
”Cucu saya kekuningan, bahaya ke
doktor?” tanya seorang nenek selepas meletak cucunya di atas katil pemeriksaan.
Kekuningan atau istilah perubatannya ”jaundice”
adalah keadaan di mana kulit dan mata bayi menjadi kuning. Ia biasa
berlaku pada bayi yang baru lahir , dua atau tiga hari selepas lahir.
Ia akan mencapai kemuncak selepas empat hari dan akan hilang selepas dua
minggu. Jaundice tidak bermakna bayi kita sakit.
Kekuningan biasanya dikesan dengan
menekan hujung kuku kita dengan lembut pada kulit bayi. Kekuningan juga lebih
mudah dikesan pada putih mata (sclera), muka sehingga ke dada.
“Berapa hari umur bayi ini?”
tanya saya.
”Baru lima hari doktor, itu yang saya
risaukan. Dah dua hari dia ada kekuningan ini. Saya jadi risau”
”Makcik, jangan risau kerana
kekuningan ini normal pada bayi yang baru lahir kecualilah ada tanda-tanda dia
keletihan, tidak mahu menyusu atau ada demam”
Saya mengulagi lagi, ”Ia biasa
berlaku pada bayi yang baru lahir , dua atau tiga hari selepas lahir. Ia akan
hilang selepas dua minggu”
Bagi saya, kekuningan yang perlu
dirisaukan ialah jika ia berlaku dalam masa dua puluh empat jam selepas
kelahiran. Atau mungkin semenjak lahir. Ini menandakan organ hati (liver)
bayi itu mempunyai masalah, sama ada jangkitan kuman atau masalah kecacatan
sejak lahir (congenital defect).
Masalah kekuningan ini juga menjadi
serius jika kekuningan itu terlalu kuat, iaitu bukan kekuningan yang biasa.
Maksudnya bayi itu seolah-olah telah disapu dengan kunyit. Ia adalah sesuatu
yang serius dan perlu berbincang dengan neonatologist atau paediatrician.
”Doktor, apa sebab kekuningan ini?
Saya dengar kalau masa hamil mengamalkan banyak herba, akan mengurangkan
kekuningan”
Herba? Lagi-lagi herba. Kalau betul
tidak apa, ini semua petua herba itu diambil dari majalah dan sumber internet
yang boleh diragui kesahihnya.
Kemudian disampaikan dari mulut ke
mulur, dari fb ke fb dari laman blog ke laman blog.Copy and paste. Siapa
mahu bertanggungjawab jika apa-apa berlaku kepada ibu yang hamil. Saya sudah
jumpa banyak kes kesilapan fakta dalam internet.
Kekuningan sebenarnya bukan penyakit
misteri. Ia adalah fenomena normal apabila darah pada bayi menjadi rosak dan
pecah dan dicernakan oleh organ hati. Pencernaan dan penguraian komponen dalam
darah ini akan menghasilkan bilirubin.
Biasanya semua bilirubin dapat
dibuangkan melalui najis. Tetapi apabila terlalu banyak darah yang rosak dan
pecah serta diuraikan secara serentak dalam satu masa, tahap bilirubin dalam
darah akan meningkat dalam darah. Peningkatan bilirubin inilah yang dapat
dikesan melalui kekuningan pada tubuh bayi.
Ini penjelasan ringkas bagi orang awam
agar memahami bahawa kekuningan adalah sesuatu yang normal. Ia bukanlah suatu
fenomena yang luarbiasa. Sebenarnya penjelasan bagaimana pembentukan bilirubin
dalam darah dan bagaimana ianya diuraikan amat panjang dan rumit, tidak perlulah
saya cuba terangkan secara perinci.
”Kalau macam tu, kenapa misi yang
datang rumah menyuruh saya bawa anak saya ni jumpa doktor. Dia marah-marah dan
kata ini bahaya” terang nenek itu cuba menjustifikasikan kehadirannya
ke klinik.
Apa yang dilakukan oleh jururawat itu
betul. Pengetahuannya mungkin tidak mencukupi dan haruslah dirujukkan ke orang
yang lebih tahu, iaitu doktor. Dia tidak bersalah. Mungkin jururawat itu
marah-marah apabila pesakit mereka seperti tidak serius dengan keadaan itu.
”Doktor, saya nak tanya, kalau
kekuningan ini tak serius, mengapa anak rakan saya masuk ICU beberapa bulan dan
keluar dari hospital dengan kecacatan otak yang kekal?”
Saya bersetuju jika mereka mahukan
pemeriksaan lanjut ke atas bayi mereka. Saya mengarahkannya melakukan
pemeriksaan darah bayi itu untuk melihat tahap bilirubin. Darah itu diambil
pada tumit kaki dengan mengambil sedikit titisan darah dari situ.
Pada kebiasaannya tahap bilirubin yang
mencapai lebih 85 umol/l (5 mg/dL) akan menunjukkan tanda-tanda
kekuningan. Bayi ini hanya mempunyai 100 umol/l saja. Lebih sedikit dari biasa
dan masih dalam kawalan.
Jadi tiada apa yang perlu dilakukan pada
bayi itu. Tiada ubat yang harus diberikan. Nasihat saya jika ia masih tidak
berkurangan dalam masa seminggu atau kekuningannya bertambah, boleh datang
semula. Saya percaya kekuningan itu akan hilang sendiri.
Kebanyakan bayi tidak memerlukan rawatan
khusus. Namun ada yang memerlukan rawatan jika tahap bilirubin yang tinggi.
Rawatan yang biasa diberikan ialah
rawatan fototerapi jika tahap bilirubin melebihi 359 umol/l
(21 mg/dL). Rawatan ini akan membantu bilirubin ditukarkan
kepada biliverdin yang lebih ‘mesra tubuh’ dan mudah
dikumuhkan. Rawatan ini harus diberikan selama 48 jam. Menggalakkan bayi
menyusu juga akan menyebabkan bilirubin dikumuhkan ke dalam najis.
Jika rawatan fototerapi gagal, rawatan
yang lebih agresif perlu dilakukan iaitu rawatan “exchange transfusions”.
Ia adalah pemindahan darah dari bayi dan digantikan dengan darah yang lain. Ini
hanya dilakukan jika tahap bilirubin melebihi 428 umol/l (25 mg/dL).
”Kesian dia, doktor. Kecil-kecil lagi
sudah disuntik dan dimasukkan darah”
Saya diam. Memanglah kasihan, tetapi
saya pernah mendapat kes yang lebih berat daripada ini, di mana seorang bayi
terpaksa dirawat selama 3 bulan di ICU akibat komplikasi tahap kandungan
bilirubin terlalu tinggi.
Apabila tahap bilirubin terlalu tinggi
buat masa yang lama, keadaan ini boleh menyebabkan kerosakan otak. Kerosakan
otak ini dinamakan kernicterus. Antara kerosakan otak ialah
demam dan sawan. Akhirnya apabila bayi itu membesar, dia akan menghadapi
kerosakan otak dan gangguan pendengaran.
Wallahuálam
Susunan: Dr Zubaidi Hj Ahmad





